Monday, July 18, 2011

Jom daftar sekarang......

ROMBAKAN KESELURUHAN....

UTUSAN MALAYSIA

ARKIB : 14/07/2011


Rombak seluruh sistem

SEMALAM, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan mengesahkan kurikulum baharu latihan memandu telah siap tetapi memerlukan persetujuan terakhir pihak industri latihan pemanduan untuk dilaksanakan.
Walaupun ia disambut baik, rata-rata pihak berpendapat, penggubalan semula kurikulum itu dilihat masih tidak mencukupi sekiranya keseluruhan sistem pengambilan lesen memandu di negara ini tidak turut dirombak.
Rombakan keseluruhan itu perlu bagi memastikan urusan berkaitan kurikulum, latihan, ujian dan pengawalan perlesenan dilakukan mengikut sistem yang berasaskan pencapaian hasil pembelajaran.
Dalam masa sama, ia juga dapat mengurangkan fenomena ‘lesen terbang’, rasuah dan unsur-unsur negatif lain yang dikaitkan dengan sifat kemanusiaan yang kurang diberi penekanan.
Ikuti bahagian akhir laporan oleh wartawan unit khas Utusan Malaysia, ROSALINDA MD. SAID dan jurugambar HAFIZ JOHARI serta HAYAT SUEET dalam mencari penyelesaian pelaksanaan kurikulum baharu latihan memandu.

KAJANG 13 Julai – Seluruh sistem pengambilan lesen memandu di negara ini perlu dirombak jika mahu mencapai pengurangan kadar kemalangan jalan raya sehingga 50 peratus menjelang 2020.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, langkah tersebut harus segera dilaksanakan jika tidak mahu banyak lagi nyawa menjadi korban.
‘‘Rombakan itu perlu menyaksikan urusan berkaitan kurikulum, latihan, ujian dan pengawalan perlesenan dilakukan mengikut sistem berasaskan pencapaian hasil pembelajaran.
‘‘Dalam masa sama, tumpuan harus diberikan kepada usaha melahirkan pemandu yang berpengetahuan dan kompeten serta sentiasa mengamalkan budaya keselamatan di jalan raya,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, kajian yang dijalankan oleh MIROS pada 2007 mendapati, kemalangan sering berlaku disebabkan oleh beberapa faktor terutamanya membabitkan pengetahuan keselamatan jalan raya yang sangat lemah.
Sehubungan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah meminta pihaknya menghasilkan satu modul baharu kurikulum pemanduan.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini, modul tersebut masih lagi berada di peringkat perbincangan terakhir untuk dilaksanakan.
Mengulas lanjut berkaitan kurikulum baharu latihan memandu yang disediakan pihaknya itu, kata Ahmad Farhan, ia mengandungi silibus berbeza bagi kenderaan iaitu kereta dan motosikal.
‘‘Tiada lagi gabungan yang seperti yang kita lihat dalam buku Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) sekarang.
‘‘MIROS merasakan kurikulum memandu kereta serta menunggang motosikal wajar diasingkan kerana masing-masing menuntut kemahiran latihan dan ujian berbeza di jalan raya,” katanya.
Modul-modul baharu yang akan ditampilkan menerusi kurikulum tersebut juga kata beliau, akan mendedahkan calon kepada kemahiran pemanduan di jalan raya sebenar.
Ahmad Farhan berkata, sistem latihan sedia ada yang bersifat preskriptif iaitu hanya menekankan kepada topik-topik yang diajar untuk ujian semata-mata, gagal dalam mendidik calon menjadi pemandu kompeten di jalan raya.
‘‘Sistem sedia ada boleh diibaratkan seperti sebuah templat - tiada elemen kejutan kerana semua pihak sudah sedia maklum tentang proses latihan dan ujian. Tanpa disedari, perkara ini telah membuka ruang untuk dicemari elemen integriti.
‘‘Justeru, tidak hairanlah jika ada di kalangan penguji, terlibat dalam gejala rasuah manakala tenaga pengajar pula selesa mengamalkan sikap ‘cincai’ semasa mengajar,” katanya.

Kurikulum baru akan diperkenalkan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm
UTUSAN ONLINE
ARKIB : 14/07/2011
Kurikulum baharu perlu konsep kemahiran

BANGI 13 Julai – Kurikulum baharu sekolah atau institut memandu yang bakal diperkenalkan kerajaan tidak lama lagi perlu memberi penekanan kepada ‘konsep kemahiran mengatasi pengetahuan’.
Pakar pengangkutan awam, Prof. Dr. Abdul Rahim Md. Nor berkata, ini kerana konsep kemahiran bukan sesuatu yang boleh dihafal atau dibaca semata-mata, sebaliknya memerlukan latihan bagi membiasakan calon dengan keadaan, kesibukan dan halangan sebenar di jalan raya.
“Apatah lagi dalam situasi hari ini, tidak keterlaluan dikatakan, laluan untuk seseorang calon mendapatkan lesen memandu adalah terlalu mudah, ringkas dan cepat serta kurang bersifat ‘menguji’ tahap kemahiran pemanduan mereka.
“Dengan adanya konsep kemahiran, ia bukan sahaja mampu melahirkan pemandu kompeten, mematuhi undang-undang dan berhemah di jalan raya, bahkan sejajar dengan hasrat kerajaan dalam mengurangkan 50 peratus bilangan kematian dan kecederaan akibat kemalangan menjelang tahun 2020 nanti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Tambah Abdul Rahim, ujian amali memandu di jalan raya merupakan perkara utama yang wajar diberi perhatian oleh pihak kerajaan serta memerlukan pembaharuan secara total.
“Pada pendapat saya, ujian amali memandu di jalan raya perlu dipanjangkan jarak dan masa iaitu daripada 15 minit sekarang kepada 45 minit.
“Luaskan geografi kawasan ujian amali dengan melalui empat kawasan utama yang terdiri daripada kawasan guna tanah tidak padat, kawasan berkonflik, kawasan berisiko tinggi dan kawasan guna tanah padat.
“Calon perlu diuji kemahiran memandu pada sekurang-kurangnya di dua kawasan seperti yang dinyatakan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahim menegaskan, ujian amali meletak kenderaan dan berhenti pada cerun di pusat ujian (test centre) wajar dihapuskan pelaksanaannya.
Sebaliknya, kedua-dua ujian tersebut perlu di lakukan di jalan raya bagi mendedahkan calon dengan keadaan dan halangan sebenar dalam memantapkan kemahiran pemanduan mereka.
“Kalau di pusat ujian, ada sesetengah calon yang bersikap sambil lewa dan tidak bimbang jika kenderaan mereka terlanggar tiang semasa meletak kenderaan mahupun menggelongsor ketika menaiki cerun.
“Mereka anggap ‘kesalahan’ yang dilakukan itu adalah kecil serta hanya akan menyebabkan mereka gagal untuk mendapatkan lesen sahaja.
“Sedangkan dalam situasi sebenar kelalaian tersebut berkemungkinan memberi kesan negatif terhadap pemandu lain dan diri mereka sendiri terutamanya jika kemalangan terjadi,” katanya.
Sehubungan itu, kata Abdul Rahim, masa yang panjang diperlukan bagi menanam kemahiran memandu dalam diri seseorang calon.

Friday, July 8, 2011


Kos belajar, miliki lesen memandu dijangka naik

Kos belajar, miliki lesen memandu dijangka naikOleh Nurhayati Abllah
bhnews@bharian.com.my
2010/05/31

JPJ tambah jumlah jam latihan dalam kurikulum baru

TAPAH: Kos belajar memandu dan memiliki lesen dijangka meningkat berikutan langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menambah jumlah jam latihan memandu dalam kurikulum baru yang akan diperkenal akhir tahun ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata kurikulum baru itu akan memastikan pengguna jalan raya mempunyai kemahiran pemanduan lebih cekap, mementingkan keselamatan, mematuhi undang-undang dan berhemah.
"Antara perubahan ialah lanjutan tempoh masa ujian memandu dan penggunaan kenderaan ujian mengikut kesesuaian pemandu sama ada automatik atau manual.
Pemegang lesen memandu P (Percubaan) juga perlu menjalani ujian khas memperoleh Lesen Memandu Kompeten (CDL) berbanding sebelum ini yang diperoleh secara automatik. JPJ turut memperbaiki kaedah mendapatkan lesen kenderaan awam (PSV) dan lesen kenderaan membawa barang (GDL).
"Kita dalam peringkat akhir mendapatkan kelulusan Kementerian Pengangkutan sebelum dilaksanakan," katanya selepas majlis penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ Khas Masyarakat Orang Asli Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang, di Kuala Woh di sini, semalam.
Pada majlis itu, 585 peserta terdiri daripada masyarakat Orang Asli menerima lesen B2 (Motosikal).
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, JPJ akan memperkenalkan kurikulum baru bagi menyediakan sistem latihan memandu yang dapat melahirkan pemandu kompeten, mematuhi undang-undang dan berhemah.
Solah juga berkata, perubahan dijangka dapat meningkatkan tahap pemanduan di negara setaraf amalan antarabangsa dengan memastikan modul latihan yang disediakan mengikut piawaian latihan terbaik di kalangan negara yang mengamalkan cara pemanduan berkualiti.
“Saya jangka akan berlaku kenaikan kos sebab kita mahu menuju kepada kualiti latihan yang lebih baik. Jika kita mahukan pemandu yang berkualiti, yang mengamalkan pemanduan berhemah, cermat dan bersopan santun, kita kena bayar lebih sedikit," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai jumlah kenaikan.
Ditanya ia mungkin dibantah, Solah berkata, langkah itu bersesuaian bagi mewujudkan pemanduan lebih berkualiti dan Malaysia masih mengenakan bayaran paling rendah untuk mendapatkan lesen memandu berbanding negara lain.
Katanya, jawatankuasa khas diwujudkan bagi melaksanakan perubahan kurikulum pembelajaran baru terdiri daripada JPJ, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan ahli akademik dari institusi pengajian tinggi bagi membincangkan secara terperinci mengenai bidang pemanduan selamat serta berkualiti.

***Sumber maklumat ini dipetik daripada berita harian pada tarikh 31/5/2010***